Pengalaman Tiga Bulan Sebagai Seorang Ayah

9:17 PTG

Pada hari ini ( 27 Mac 2018 ), genap 3 bulan saya menjalani kehidupan sebagai seorang ayah. Saya tahu tiga bulan tu tempoh yang sangat singkat tetapi siapa yang ada pengalaman pasti tahu betapa padatnya apa yang telah kita lalui pada tiga bulan pertama menjadi seorang ayah kan ?

Saya masih ingat dengan jelas lagi semasa tengok bayi perempuan saya keluar dari rahim isteri dan dipenuhi dengan darah.

Saya masih ingat detik saya azankan dan iqamah di telinga bayi.

Dan saya masih ingat sewaktu mula-mula saya angkat dan pegang bayi tersebut dengan muka dan badan yang masih kemerahan.

Masa berlalu dengan sangat pantas dan saya tidak sempat untuk simpan kenangan dan memori secara berterusan. Jadi untuk kekalkan pengalaman yang sangat berharga ini, saya akan tulis di blog sebagai kenangan untuk saya baca kembali pada masa depan.


Bulan Pertama


Kelam kabut, tak cukup tidur, kepenatan, dan risau. Ini kesimpulan ringkas apa yang saya alami pada bulan pertama.

Risau.
3 hari selepas Elena Maisara lahir, muka dan badan dia nampak kekuningan. Saya dan isteri terus bergegas ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan. Selepas diperiksa, tahap kuning Elena agak tinggi dan menyebabkan dia terpaksa ditahan di NICU.

Rasa sedih sangat bila tengok anak terpaksa berada di dalam wad dan malam tu saya dan isteri tidur di rumah tanpa ditemani bayi kami. Malam yang sunyi tanpa tangisan bayi, tiada bau wangi seorang bayi disisi, rasa kekosongan dan rindu yang sangat mendalam walaupun baru je 3 hari bersama Elena menyebabkan saya menangis macam orang gila pada malam tu.

Malam yang sangat sedih bagi saya dan isteri serta memberi peringatan bahawa anak ini adalah pinjaman dan anugerah daripada Allah dan bila-bila masa Allah boleh ambil semula.

Esoknya 1 jam sebelum waktu melawat 12 tengah hari saya dan isteri dah tercegat di hospital. Isteri masuk terlebih dahulu dan bila pukul 12 baru saya dibenarkan masuk. Bila dah masuk dapat berita gembira, isteri kata Elena dah boleh pulang hari ni. Alhamdulillah rasa syukur dan gembira sangat apabila dengar berita tu.

Pada pukul 3 petang, Elena dibenarkan pulang dan keceriaan saya dan isteri kembali seperti asal. Sepanjang dalam perjalanan pulang, kami tak henti-henti ambil gambar sebagai kenangan.

Tak cukup tidur dan kepenatan.
Saya tak biarkan isteri saya keseorangan bangun di tengah malam apabila Elena menangis minta susu ataupun tidak dapat tidur. Saya turut bangun dan cuba membantu melayan kerenah Elena supaya dia kembali tidur.

Bulan pertama Elena memang banyak berjaga waktu malam. Pukul 2 pagi atau 3 pagi mesti tak tidur lagi dan usaha macam mana sekalipun dia tetap tak tidur. Pernah sekali sampai pukul 5 pagi Elena masih tak tidur dan saya suruh isteri rehat dan tidur dulu, biar saya je yang jaga layan kerenah dia.

Dengan tidak cukup tidur, jaga pakaian isteri yang dalam pantang dan jaga makan pakai si kecik Elena ni memang pengalaman penat yang tak mungkin saya lupakan. Bila tiba je hujung minggu, saya akan tidur dan rehat bila ada je masa terluang.

Kelam kabut.
Ini sebenarnya pengalaman yang agak lawak. Pengalaman kelam kabut ini terjadi banyak kali apabila Elena kencing atau berak semasa saya dan isteri sedang tukar lampin.

Tengah lap punggung dan pakaikan bedak, Elena terus kencing sebelum sempat saya pakaikan pampers. Terus jadi kelam kabut sebab nak elakkan pakaian saya dan pakaian Elena daripada terkena kencing dan kebiasaannya pakaian saya sempat diselamatkan tetapi pakaian Elena kena tukar baru sebab kena kencing. Ha ha ha


Bulan Ke Dua


Bulan ni Elena dah ada banyak perkembangan. Antaranya dia dah pandai membebel marah apabila lapar dan lambat bagi susu. Masalahnya dia tak menangis tetapi keluarkan suara kuat Ehhh !!! Ehhh !!! macam tengah marah sebab kelaparan. Geram betul !!

Bulan ini juga dia dah pandai senyum. Bila borak dengan dia ada respon mata dia kebil-kebil cuba tangkap apa yang saya dan isteri cakap, lepas tu dia senyum kat kami dengan senyuman yang manis.

Elena juga dah pandai senyum masa ambil gambar dan selfie. Tak tahu la saya mana dia belajar senyum depan kamera. Mesti ikut perangai mak dia yang suka bergambar ni.

Yang selalu terjadi adalah dia senyum masa tengah tidur. Tak tahu la Elena mimpi indah apa sampai tengah tidur pun boleh senyum secara tiba-tiba.

Bila setiap hari borak dengan Elena, dia pun dah pandai nak borak. Bila sampai di rumah mesti suara dia berbunyi ajak berborak dan bila saya layan dia berborak, kitorang pun bersembang la macam-macam topik. Kadang tu kitorang borak hingga 5 minit sampai dia pun penat takde suara dah nak keluar.

Seronoknya berborak dengan dia sebab dia cuba jawab soalan yang saya tanya.

Saya tanya hari ni buat ape ? banyak ke berak ?

Dia punya jawab dengan bunyi Ooooo Aaaaaaa Eiikkkkk.

Tak tahu pun ape yang dia cakap tapi layankan aje sebab aktiviti ni bagus untuk bayi dan bagus untuk perkembangan otak dia.

Selain berborak, leher dan badan dia pun dah macam keras sikit. Selepas mandikan Elena, saya dan isteri akan letakkan Elena meniarap dalam 2 atau 3 minit nak latih  dia supaya dapat angkat kepala.

Bulan ke dua dia boleh angkat kepala sedikit semasa meniarap. Comel betul tengok Elena angkat kepala masa meniarap. Nampak jelas usaha gigih dia cuba angkat kepala dan nak pusingkan kepala walaupun dia masih lagi tak kuat sepenuhnya.

Bulan ni juga memberikan sedikit keamanan kepada saya dan isteri sebab Elena dah dapat tidur pada masa yang betul. Setiap hari dia tidur antara pukul 12 tengah malam - 1 pagi dan terjaga pada pukul 0530 pagi - 0600 pagi. Bila Elena tidur sama waktu, saya dan isteri pun dapat rehat dengan secukupnya.


Bulan Ke Tiga


Bulan ni Elena dah cecah berat sehingga 6 kg. Selain bertambah gemuk dengan pipi pau dan lengan donut dia tu, Elena dah pandai hisap jari dan cuba untuk mengiring ke kanan.

Kelakar betul tengok dia cuba hisap jari. Kadang-kadang jari dia tersasar tak masuk mulut dan tak dapat hisap lepas tu dia marah sebab tak dapat hisap. Ha ha ha

Bila dia dapat hisap, bukan main kuat lagi dia hisap jari dia sampai ada keluar bunyi. Tangan dia tak payah cakap la memang basah dengan air liur lepas tu tangan dia pergi sapu muka pulak. Habis muka dengan pipi pau dia basah dengan air liur. Haishhhh

Cakap pasal air liur, dia pun dah pandai keluarkan air liur sampai habis basah baju kat bahagian leher. Hari tu saya tengok dia buat buih dengan air liur. Boleh tahan besar jugak buih dia buat sampai penuh mulut dia yang kecil tu.

Tidur pulak nak mengiring ke kanan je kerjanya. Rasanya sebab Elena mengiring ke kanan adalah nak tengok muka mak dia masa tidur. Kalau tak dapat tengok muka mak dia, memang tak tidur dan merengek macam-macam.

Oh ya sekarang pun tidur Elena dah macam buas sikit. Masa awal tidur elok je bantal kat kepala. Pagi nanti tengok kepala entah kat mana, bantal dia pun entah kat mana. Tak lama lagi mesti dia tidur berpusing 180 darjah. Malam kepala atas bantal, esok pagi kaki dia pulak atas bantal. Huuuhhh !!!

Sekarang dia dah tak berapa suka baring atas tilam. Nak orang angkat dan duduk letak atas peha. Kalau dia merengek ke menangis ke, kena angkat dia dudukkan atas peha nanti diam la tu. Saja je perangai nak duduk atas riba. Huuhhh !!

Rasanya setakat ini sahaja dulu perkembangan Elena Maisara. Post pasal dia saja dah berjela panjang nak tulis. Ni pun nasib baik dah ringkaskan sebanyak mungkin. Masuk bulan ke empat nanti saya datang lagi dengan post baru.


You Might Also Like

1 ulasan